Sunday, August 9, 2009

*Jubah Buat Ibu*

*Jubah Buat Ibu*

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau
degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak
menyusahkan aku?", marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah
apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil
SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan
Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?", leter ibu
lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan
diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat
si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini
darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya
lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa
kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu. Along semakin
berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat
di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal
sebenar. Si ibu semakin bengang. " Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan
ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!" Si ibu
merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit
kesakitan.

"Sakit bu...sakit.. ..maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi....Bu,
jangan pukul bu...sakit bu..." Along meraung meminta belas si ibu agar tidak
merotannya lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?"
Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along
yang kurus itu. "Bu...ampunkan Along bu...bukan Along yang mulakan...bukan
Along....bu, sakit bu..!!", rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat
menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf
daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya
mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana
sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya
setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along.
Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap
mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along
memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis
lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi.
Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu
sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di
sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke
sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua,
Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan
untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang.
Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah
dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di
kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu
disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi.
Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun
sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini Along merebahkan badannya.
Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu
menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat
mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM,
kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah
tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia
telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot
dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau
adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu.
Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar
dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka.
Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah.
Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya.
Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu.. Itupun acuh tidak acuh sahaja.
Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu
kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang
ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian
mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong.
Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum
sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada
mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di
sebalik pintu sambil memerhatikan mereka..

" Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya
Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang
pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah
menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu.
Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang
telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" " Eh jangan, nanti
dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu.
Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!", si
ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan.
'anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya..' bisik hati kecil Along. "Kak
Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?", soalnya lagi masih belum berganjak
dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas
menampakkan kebahagiaan. "Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm
bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni
pun?". Along terkejut mendengar soalan Atih Namun dia ingin sekali tahu apa
jawapan dari ibunya. "Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang
lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!", terang si
ibu.. "Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..", soal Atih
lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia
mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan
dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. "Dah
tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang
dekat stesen bas." , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya
di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika
Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang
selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu
pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin
hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat
Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai,
kakinya tiba-tiba berhenti melangkah Matanya terpaku pada sepasang jubah
putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. 'Cantiknya,
kalau ibu pakai mesti lawa ni....' Dia bermonolog sendiri. Along melangkah
masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya
tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz,
sahabatnya. "La...kau ke, apa kau buat kat sini?", tanya Along ingin tahu
sambil bersalaman dengan Fariz. "Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak
buat apa kat sini?", soalnya pula. "Aku tak de buat apa-apa, cuma nak
tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!", jelas Along jujur.
"waa...bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%.
Macammana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. "Betul ke ni
Riz? Nanti marah kakak kau!", Along meminta kepastian. "Untuk kawan baik
aku, kakak aku mesti bagi punya!", balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena
beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak
keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu,
lepas tu kau bayar sikit-sikit. " Kata Fariz . Along hanya menggelengkan
kepala tanda tidak setuju.. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya
tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. "Dekat kau ada berapa
ringgit sekarang ni?", soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya
itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam
yang semakin lusuh itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku
datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!", pesan Along
bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah
tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang
rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika
kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang
dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak.
Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi
di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei,
kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi
kat luar tu?", soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya
daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. "Kenapa tak makan kat
luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!", leter ibu lagi. Along
hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber
seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang
menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih
memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. "Along ni teruk tau. Suka
buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu." Marah
Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri.
Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat
kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja.
"Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang
berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang
menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar
tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu,
pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu.
Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci
tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan
memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan
semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah.
Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu
bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along
terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar
daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si
ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan
selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa
hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan
tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk
mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima
bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal
dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira.
Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini
hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan
apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along.
Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik
Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau
senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap
Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang
luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along
di rumahnya dengan percuma. "Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!",
soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari
itu.. "Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan. "Sebenarnya,
kau lari dari rumah kan ?" Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang
disuap ke dalam mulut tersembur keluar Matanya juga kemerah-merahan menahan
sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air.
"Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe
lagi cubamenduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati
Along sebak. Along
mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah
perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. "Azam,
kau ada cita-cita tak...ataupun impian ker...?" Abang Joe mengubah topik
setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi.. "
Ada " jawab Along pendek "Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor?
Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku....atau. ..." Along
menggeleng-gelengka n kepala. "semua tak...Cuma satu je, saya nak mati dalam
pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan
tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. " Ala ,
gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya.. ..saya nak bawa ibu saya ke Mekah
dan...saya.. ..saya nak jadi anak yang soleh!". Perlahan sahaja suaranya
namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar
jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang
begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun
belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak
seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan
dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari ni, saya nak
balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni", ucap
Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci
tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu
mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki
bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak "Abang Joe,
jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu,
saya hadiahkan untuk Abang Joe." Kata Along lagi "Tapi, kau kan boleh datang
bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?", soal Abang Joe. Dia risau
kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum
memandangnya. "Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih
banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan
perniagaan abang ni semakin maju." Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang
Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli
jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus
ke tempat di mana baju itu disangkut. " Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu
mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?", soal Fariz
setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu Along hanya tersengeh
menampakkan giginya. "Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau
hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?" "Tak pe lah, perkara dah
berlalu....lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang
perkara ni", terang Along dengan tenang. "Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau
tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. "Tak apa lah
Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah." "Zam..kau ni....."
"Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat
kisah lama tu." Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak
berpuas hati itu. "Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan
lupa lekat kad ni sekali, k!", pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad
berwarna merah jambu. "No problem...tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja
ke?" , soal Fariz ingin tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang Joe... Jadi
pembantu dia", terang Along. "Abang Joe mana ni?" "Yang buka bengkel motor
kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!", jelas Along
dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . "Azam, kau nak bagi hadiah ni kat
mak kau bila?" "Hari ni la..." balas Along. "Ooo hari lahir ibu kau hari ni
ek?" "Bukan, minggu depan..." "Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan
je?", soal Fariz lagi. "Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi
hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi." Jawabnya
sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak
sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil
menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima
hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang
hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak
daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along
dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu,
Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di
kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan
tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus
mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia
cubamencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam
kuat
cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin
membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat,
pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam
keparahan itu, Along melihat kelibat orang-orang yang sangat dikenalinya
sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang
wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila
dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia
juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya.
Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin
lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang
masih digenggamannya itu. "Ha..hadiah. ...untuk. ....ibu.. ......." ucapnya
sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat
dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium
berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi.
Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada
air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan
ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama
Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang
hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok
darah yang kering dibukanya lalu dibaca. 'Buat ibu yang sangat dikasihi,
ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu,
along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak
kanmembuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya.
Selamat
hari lahir ibu... dan terimalah hadiah ini.....UNTUKMU IBU!' Kad itu dilipat
dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga
perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan
sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang
melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati
wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.
"Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam
kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan
lukisan, Malik datang dekat kami Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan
menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia
cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan .. dia jugak cakap,
ibunya seorang perempuan gila.." cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu
terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan
Along kerana kesalahan menumbuk Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan
pada makcik Fariz?" Soalnya dengan sedu sedan. "Sebab.....dia tak mahu
makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak
makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik
ada sekarang...walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup
tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula...." Terang Fariz
lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak
sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya
menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa
sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap
derhaka.

p/s : sayangilah ibu anda sementara beliau masih ada...

No comments: